Ticker

6/recent/ticker-posts

TV Alhijrah Dengar Denyut Nadi Rakyat Menerusi Penerbitan Rancangan Baharu 2021

Sembilan bulan berhadapan dengan ujian Covid-19 bukanlah satu jangka masa yang menyenangkan rakyat Malaysia. Virus ini bukan sahaja merenggut kesejahteraan fizikal, malahan ia turut memberi ancaman kepada kesihatan mental kita.

Oleh yang demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir ke stesen TV Alhijrah pada pagi ini menyeru rakyat  Malaysia yang berkemampuan untuk menyumbang kepada Tabung Musa'adah Covid-19 dan terus prihatin kepada khalayak yang memerlukan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat stesen berkonsepkan gaya hidup Islam itu kerana mendengar denyut nadi rakyat secara berterusan dengan menerbitkan pelbagai rancangan baharu meskipun dalam suasana Covid-19.

“Saya nak ucap lafaz Alhamdulillah. Saya lihat satu kesegaran yang mekar dan baru. Ada berlaku satu transformasi. Dalam suasana Covid-19 ini, nampak kerancakan TV AlHijrah dengan rancangan-rancangan yang sentiasa diterbitkan mengikut peredaran masa dan dimekarkan,” katanya.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berbesar hati melancarkan tiga program baharu TV AlHijrah secara langsung menerusi rancangan Assalamualaikum ‘Musa’adah Covid-19: Kami Peduli Anda’.

Tiga program baharu yang akan disiarkan pada tahun 2021 ialah program MY H.A.U.S, Dengarkan dan Hijrah Berselawat (bersiri). Ketiga-tiga program ini menjadi nadi kepada kempen Musa’adah Covid-19 2021.

Ketiga-tiga program ini juga memposisikan TV AlHijrah sebagai stesen yang mendengar nadi denyut rakyat serta stesen penenang jiwa yang memeluk emosi rakyat Malaysia tatkala negara menghadapi masalah ancaman Covid-19 dan kemuraman ekonomi.


My H.A.U.S yang disiarkan setiap Isnin, 9 malam bermula 25 Januari 2021 adalah sebuah program realiti ubah suai rumah golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman selesa dan boleh diduduki seisi keluarga.

Dengar pula merupakan program separa realiti yang mencari individu yang kisahnya tular akibat kesusahan hidup dan akan dibantu agensi kerajaan yang berkaitan.

Sementara itu Hijrah Berselawat pula antara usaha TV AlHijrah menyediakan terapi rohani dan keagamaan yang menyubur jiwa. Hijrah Berselawat akan disiarkan pada Khamis terakhir setiap bulan, jam 9 malam bermula 31 Disember 2020.


Menurut Zulkifli, ketiga-tiga rancangan ini pastinya memberi nilai tambah buat seluruh rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak Covid-19.
“Saya doa kepada Allah SWT supaya tiga-tiga program ini menjadi program yang Allah makbulkan bahkan mendapat sambutan yang baik kepada khalayak masyarakat” ujar beliau di akhir rancangan.

Post a Comment

0 Comments