Memasuki minggu keempat, Adira dan Emma masih mempunyai perasaan berdebar dan takut berhadapan dengan juri! Walaupun takut, namun duo adik-beradik ini telah mengambil setiap teguran daripada Ajai dan Mummy (Mas Idayu) secara positif sehingga berjaya meraih juara! Ikuti luahan jujur Adira dan Emma yang telah dikongsikan bersama peminat mereka di TikTok LIVE pada hari Selasa yang lepas.
"Ini adalah pertandingan dan bukannya persembahan biasa. Jadi, kami berdua sentiasa mempunyai perasaan berdebar untuk naik ke pentas kerana perlu memberikan persembahan terbaik. Lepas habis persembahan, rasa takut tu ada lagi sebab tunggu komen dari juri. Kami hormat Mummy dan Ajai kerana semua komen dan teguran yang diberikan mereka adalah untuk kebaikan semua peserta. Mereka ada ilmu dan tahu mana kekurangan kita dan bantu untuk kita baiki kesilapan. Mereka berdua tahu undang-undang nyanyian, undang-undang Famili Duo, apa yang perlu ditambah dalam persembahan kami. Apabila kita dah terima masuk pertandingan, kami juga dah buka ruang untuk dikritik. Jadi apa yang mereka komen itu kami terima seadanya," tambah Adira lagi.
Emma turut mengaku takut untuk mendengar komen juri. "Kami memang menghormati setiap teguran juri kerana mereka lebih tahu dan berpengalaman. Ketika juri beri komen tentu ramai tengok muka saya seperti takut-takut. Betul, kami takut untuk tengok muka Ajai dan Mummy sama ada mereka senyum atau tidak, dan apa yang mereka akan komen. Kami memang tawakal sahaja masa itu. Saya pula sebenarnya mengambil langkah berdiam diri kerana takut tersalah jawab. Minggu ini tentu harapan para juri lebih tinggi sebab dah masuk minggu keempat. Ini yang kami jadi lebih takut dan risau!"
"Apabila dah masuk konsert ketiga, kami baru faham konsep Famili Duo! Bukan vokal semata-mata tapi juri nak persembahan yang menghiburkan di mana semua orang boleh terhibur! Untuk membuatkan orang terhibur, tak semestinya menggunakan kos yang tinggi. Kita perlu ada idea yang kreatif dan menghiburkan. Yang penting all out and have fun! Dari kedudukan tercorot pada minggu pertama iaitu di tempat terakhir, tempat ketiga pada minggu kedua dan berjaya menjadi juara bagi minggu ketiga," tambah Emma.
Kedua-dua beradik yang mempunyai suara high pitch ini telah memilih tema dangdut / hindustan. Pada minggu ini, mereka akan membawa lagu mashup Pantun Janda (Ami Hadi). Di Kocok-Kocok (Inul Daratista), Bole Chudiyan (Jatin-Lalit, Amit Kumar, Sonu Nigam, Alka Yagnik, Udit Narayan), Hareudang (Vita Alvia) dan Diam Diam Jatuh Cinta (Ramlah Ram). Berjayakah duo adik-beradik ini mengekalkan kedudukan teratas dan memenangi hati juri bagi menggu keempat ini?
0 Comments