Band lagenda Indonesia iaitu Dewa 19 tidak pernah menghampakan peminat apabila dianggarkan seramai 7,000 peminat telah membanjiri Stadium Melawati, Shah Alam. Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia berlangsung dengan penuh meriah sekali dan dapat juga kita saksikan penyatuan dia bekas vokalis, Ari Lasso dan Once Mekel di satu pentas.
Dalam keghairahan malam itu, tetap juga ada sedikit ralat apabila Ahmad Dhani selaku Mastermind konsert tidak dapat bersama dan diwakili oleh anaknya, Abdul Qodir Jaelani atau lebih dikenali Dul Jaelani yang juga tidak kurang hebatnya.
Sebelum ke acara kemuncak, pentas dihangatkan dahulu dengan persembahan artis dari negara yang sama iaitu Andra and the Backbone yang telah mempersembahkan 9 buah lagu. Kemudian, stadium bergema dengan kemunculan Ari Lasso bersama 10 buah lagu dengan dendangan vokal yang sungguh mengagumkan. Lebih satu jam beraksi tetapi cukup bertenaga.
Ketika Ari mengalunkan lagu medley, Hadapi Dengan Senyuman dan Cintakan Membawamu Kembali, penonton kelihatan sebak tatkala paparan video ucapan Ahmad Dhani dipaparkan. Dul Jaelani yang bermain keyboard tidak dapat menahan kesedihan itu. 'Pangeran Cinta' lagu pertama Once Mekel juga turut memukau penonton dengan bait-bait lagu yang dinyanyikan. Once membawa 11 lagu sebelum berduet dengan Ari Lasso untuk mengakhiri persembahan.
Mereka turut rasa terkilan dengan ketiadaan Ahmad Dhani yang merupakan pengasas kumpulan Dewa 19 ini di Surabaya. Turut hadir menyaksikan konsert ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.Ternyata kepuasan terpancar pada baladewa dan baladewi tegar Dewa 19.
Photogrpaher & Wartawan : Nosdin Abdul
0 Comments