Ticker

6/recent/ticker-posts

KL VAMPIRES | ‘Kisah Vampires Ingin Merebut Takhta Kekuasaan’

ADAKAH benar Vampires itu wujud? Selama berabad-abad manusia tidak pernah tahu tentang kewujudan vampires dalam kalangan mereka. Dalam dunia sebenar, vampires sentiasa  dianggap sebuah mitos dan selalunya dalam kalangan masyarakat, ia lebih kepada kisah yang diceritakan pada waktu malam.


Bagaimanapun, dalam filem terbaharu yang diterbitkan oleh Cinemaya Studios Sdn. Bhd. berjudul KL Vampires, ia memaparkan sebuah kisah tentang kewujudan makhluk yang dikenali sebagai vampires ini dengan mengganas di Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Daven R. berkata, minat yang mendalam terhadap filem-filem fiksyen seperti Star Wars dan Close Encounters Of The Third Kind telah mencetuskan idea kepadanya untuk menghasilkan filem fiksyen.

Ujarnya, pada tahun 2012 dia terbaca sebuah tulisan seorang blogger yang menggunakan nama Nazri Vovinski tentang vampires.
“Dalam tulisannya itu, dia mengatakan tentang kewujudan vampires di Malaysia dan tulisannya itu agak melucukan.
“Kemudian saya bermimpi pula tentang adanya seorang vampire jahat yang ingin menguasai dunia dan mulai saat itu saya bertekad untuk menghasilkan sebuah filem vampires,” ujarnya.

Menurutnya, setelah melakukan penyelidikan tentang vampires dia akhirnya telah berjumpa dengan Nazri untuk menghasilkan skrip KL Vampires.

Jelasnya, dia cuba berjumpa dengan beberapa pihak untuk mendapatkan dana bagi pembikinan filem berkenaan, tetapi agak hampa kerana pihak tersebut menyatakan tidak wujud vampires di Malaysia.
“Saya tidak berputus asa dan meneruskan lagi penyelidikan sehinggalah terbaca tentang mitos Raja Bersiong.
“Ternyata mitos Raja Bersiong itu memberikan saya idea untuk mencipta sebuah universe vampires di Malaysia dengan terhasilnya KL Vampires,” ujarnya.
Mengenai pembikinan filem tersebut, Daven memberitahu ia dilakukan di Kuala Lumpur (35 hari) serta beberapa buah lokasi di Jogjakarta. Salah satunya ialah di Istana Air Taman Sari (20 hari) pada tahun 2016.


Dalam pada itu, pelakon utamanya iaitu Raja Ilya berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem ini setelah melihat jalan cerita tentang vampire yang jarang dihasilkan.

Menurut Ilya, pada masa sama dia memang berkeinginan untuk bekerja di bawah arahan Daven R. dan tawaran untuk memegang watak sebagai Ratu Citra Sari lantas diterimanya.
“Sebelum ini saya memang teringin untuk bekerja di bawah arahan Daven R. dan hampir menjayakan sebuah projek, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan.
“Kemudian apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem KL Vampires, saya rasa tidak boleh menolaknya kerana percaya dengan hasil kerjanya yang sangat membanggakan,” ujarnya.

Jelas Ilya, apa yang membuatkan dia lebih teruja apabila pihak produksi memberitahu akan membawa kareografer daripada filem The Raid Redemption untuk terbabit dalam filem berkenaan.

Ujarnya, kareografer yang dibawa seperti Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman yang turut berlakon dalam KL Vampires turut membuatkan dirinya kagum dan yakin filem berkenaan akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa. 

“Pada mulanya saya macam tidak percaya, namun saya kagum dengan kesungguhan pihak produksi yang mahu menghasilkan sebuah filem yang berkualiti dan memenuhi citarasa penonton,” ujarnya.
Bagi seorang lagi pelakon utamanya iaitu Josiah Hogan pula berkata, membawakan watak sebagai vampire dan membabitkan babak aksi antara faktor utama dia tertarik membintangi KL Vampires.

Ujarnya, jarang mendapat watak utama sebagai hero juga menjadi salah satu sebab, selain mahu merebut peluang yang diberikan serta mahu mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.
“Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Shah, seorang ketua parajurit kepada Ratu Citra Sari yang mempunyai sejarah bercinta dengan manusia.
“Selain pernah menjalinkan percintaan dengan manusia, Shah juga berperanan untuk memastikan hubungan antara manusia dan vampires sentiasa aman,” ujarnya tentang peranan yang dibawakan dalam filem tersebut.
Mengenai cabaran sepanjang penggambaran pula, melakukan babak aksi antara yang mencabar, namun bimbingan daripada kareografer banyak membantu dirinya.
“Untuk filem ini banyak babak aksi yang membabitkan diri saya, tetapi tunjuk ajar kareografer dari Indonesia yang dibawa khas ternyata memberikan saya banyak ilmu dan pengalaman.
“Misalnya, salah satu babak yang paling sukar adalah babak pertarungan antara saya dan Pablo Amirul yang menggunakan kabel elektrik,” jelasnya. 

Sinopsis Filem KL Vampires

Filem KL VAMPIRES mengisahkan tentang dua kumpulan vampire yang merupakan keturunan kepada Raja Bersiong. Mereka tidak lagi menghisap darah manusia, sebaliknya menggunakan darah sintetik sebagai penggantian kepada darah.

Kerajaan vampires yang paling kuat ketika itu diketuai oleh seorang Ratu Vampire iaitu Ratu Citra Sari dan dibantu ketua komandan iaitu Shah. Manakala sebuah lagi kumpulan diketuai Argus yang merupakan anak kepada Panglima Adi Wijaya dan telah mengkhianati Raja Bersiong iaitu ayah kepada Ratu Citra Sari.

Kira-kira 200 tahun yang lalu, Raja Bersiong telah membunuh Adi Wijaya serta bala tenteranya dengan menimbus mereka di dalam tanah menerusi mantranya. Argus cuba membangkitkan semula tentera-tentera tersebut dan ia hanya dapat dilakukan dengan pisau bersiong dan mantra istimewa.

Apakah yang akan berlaku seterusnya, semua ini akan dapat disaksikan dalam filem KL Vampires yang akan menemui penonton di pawagam pada 14 NOVEMBER 2019.

BARISAN PELAKON
Raja Ilya : Ratu Citra Sari
Josiah Hogan : Shah
Aeril Zafrel : Indera
Reen Rahim : Reem
Donny Alamsyah : Agus
Yuzz Mohd. Nor : Harad
Mustaqim Bahadon : Alang
Ismi Melinda : Maya
Jeff Omar : Panglima Awang
Denes Kumar : Khai
Cecep Arif Rahman : Rudi Hikayat
Pablo Amirul : Van Kordi
Saiful Apek : Caki
Wan Hanafi Su : Jaka Santoro
Azri Iskandar : En. Jamal
Godfred Orindeod : Vampire Jahat
Bront Palarae : Opening Voice Over

TEAM PRODUKSI

Pengarah
Daven. R

Penerbit
Daven. R

Penerbit Eksekutif 
Gunasegaran. S

Penerbit Bersama
Dato Pandayan Raja
Anand. R

Pengurus Produksi
Yus Manja

Konsep Asal
Daven. R
Nazri M Anuar

Cerita Asal
Daven. R

Lakon Layar
Saiful Zaidrin & Daven. R

Penulis Skrip
Nazri M Anuar

Olahan Skrip
Saiful Zaidrin

Pengarah Sinematografi
Jay Ganesh

Penyunting
Anand. R

Penerbit Penyelaras
Noor Aszila Abas

Pengarah Muzik
Raja Nazrin Shah (S.O.G)

Pengarah Aksi
Wong Choon Meng - Malaysia
Mus Danang (Pak E) - Indonesia



JANGAN LUPA TONTON DI PAWAGAM BERDEKATAN ANDA PADA 14 NOVEMBER 2019

Post a Comment

0 Comments