Ticker

6/recent/ticker-posts

Drama Boss... Mama Kirim Salam Jadi Taruhan Terbaharu TV Alhijrah

Buat julung kalinya TV AlHijrah memecah tradisi penyiaran dunia Islam apabila stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini berjaya menerbitkan sendiri sebuah drama yang memberi penekanan kepada susun atur plot, tatacara serta adab pembikinan drama yang bersesuaian dengan imej TV Islam.


Drama berjudul BOSS… MAMA KIRIM SALAM telah pun memulakan siarannya pada 6 Februari 2020 yang lalu. Drama istimewa ini akan meneruskan tayangan pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang selama 36 episod. Marahon episod lepas drama ini boleh disaksikan pada setiap hari Ahad jam 5 petang.

Drama BOSS... MAMA KIRIM SALAM adalah hasil arahan sutradara berpengalaman yang juga merupakan kakitangan TV AlHijrah iaitu Wan Hussin Wan Ismail (FDAM) serta mendapat suntikan Raja Azidah Raja Jaafar selaku penulis skrip. 

Berlatarbelakangkan penceritaan serta karektar di balik tabir stesen TV Islam, TV AlHijrah bereksperimentasi dengan drama terbitan dalaman yang mendidik, memberi tauladan serta patuh syariah tanpa mengetepikan faktor budaya popular drama masa kini. 

Drama ini mengandingkan pelakon-pelakon hebat tanah air iaitu Qazem Nor dan Siti Fazurina Mohd Famir sambil dibantu oleh pelakon baru yang sedang menempa nama di dalam industri iaitu Carolina Binur dan Zee Khan Hussein. Tambah istimewa, hampir 90 peratus kakitangan TV AlHijrah turut diberi peluang untuk sama-sama menjayakan naskah ini selaku pelakon pembantu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris “drama BOSS…MAMA KIRIM SALAM ini sangat unik kerana selain merupakan drama pertama di Malaysia yang berkisar tentang dunia penyiaran Islam, drama ini juga menggunakan seratus peratus tenaga kepakaran warga kerja TV AlHijrah iaitu bermula dari pengarah sehinggalah kepada pengurus produksi, jurukamera, tenaga pasca penerbitan jurusolek, penata cahaya, penata bunyi dan lain-lain,” kata beliau.


Sinopsis Drama BOSS... MAMA KIRIM SALAM

Drama BOSS.. MAMA KIRIM SALAM mengisahkan tentang Azra, seorang gadis lepasan ijazah Sarjana Muda Komunikasi yang menyumbang bakti dalam bidang penyiaran di TV AlHijrah. Banyak halangan dan rintangan yang dihadapi oleh Azra di dalam dunia pekerjaan namun begitu, sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk mencapai cita – cita yang diimpikan iaitu bergelar penerbit rancangan yang terkenal.

Encik Baihaqi yang bertindak selaku penyelia Azra merupakan antara insan penting yang sering membantu Azra mencapai cita-citanya. Dalam diam, perwatakkan Encik Baihaqi telah menarik perhatian Azra. Walaupun bergelar duda anak satu namun, paras rupa yang dikurniakan tidak menampakkan usia sebenar. 

Pada masa yang sama, ibu Azra iaitu Puan Kayla, seorang ibu tunggal merupakan seorang klien tetap di TV AlHijrah yang sering menggunakan platform promosi stesen itu bagi memasarkan dan mempromosikan produk kecantikannya.

Kerana acapkali bertemu dengan Encik Baihaqi di TV AlHijrah, bibit- bibit kasih sayang timbul namun Puan Kayla tidak mempunyai kekuatan untuk menyatakan rasa cintanya kepada Encik Baihaqi kerana bagi dirinya, apa yang penting adalah melihat kebahagiaan Azra. 

Konflik timbul apabila Laila, rakan sekerja Azra juga memendam perasaan terhadap Encik Baihaqi namun cintanya tidak berbalas. Sakit hati dengan penolakan Encik Baihaqi, Laila bertindak nekad dengan menyebarkan cerita yang tidak sahih kepada kakitangan syarikat. 

Siapakah wanita yang akhirnya menjadi suri hati Encik Baihaqi? Mampukah Puan Kayla berkorban hati dan perasaannya demi kebahagian anak kesayangannya Azra? Jadi jangan lupa sakskikan kesudahan drama BOSS..MAMA KIRIM SALAM, setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang hanya di TV AlHijrah. 

 

Untuk mendapatkan maklumat terkini serta menikmati rancangan dan perkembangan semasa dunia dan tanah air, jangan lupa untuk “Like” dan “Follow” laman sosial Facebook TV AlHijrah dan Instagram TV AlHijrah

Post a Comment

0 Comments