Aidiladha sememangnya sinonim dengan kisah pengorbanan. Paling melekat di hati dan ingatan umat Islam sudah semestinya kisah keteguhan hati Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang dinukilkan dalam Al-Quran.
Sesungguhnya, kisah berkenaan memberi ibrah yang sangat besar buat seluruh umat manusia. Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi ia adalah suntikan semangat yang memperingatkan umat manusia untuk terus melakukan pengorbanan yang baik dalam kehidupan seharian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha adalah antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hambaNya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar iaitu ibadah haji.”
“Namun begitu, tahun ini menyaksikan ujian yang cukup besar buat umat Islam seluruh dunia. Serangan pandemik Covid-19 telah merenggut kemanisan ibadah haji yang saban tahun dilaksanakan”.
“Kami turut merasai kehilangan dan kekosongan. Manakan tidak, jika pada tahun- tahun lepas, krew TV AlHijrah akan ke tanah suci Mekah seawal satu bulan sebelum ibadah wukuf untuk membuat liputan secara langsung persiapan serta pelaksanaan ibadah haji buat tatapan penonton di Malaysia, namun tahun ini semuanya berubah.”
“Walaubagaimanapun, selaku stesen televisyen yang berikrar untuk menyampaikan ilmu, informasi serta memeluk emosi rakyat, TV AlHijrah akan terus menceriakan serta memberi nilai tambah dalam sambutan Aidiladha tahun ini dengan menyiarkan pelbagai rancangan-rancangan istimewa dan terbaik buat penonton semua”.
“TV AlHijrah mengangkat tema Pengorbanan Suci sebagai kempen istimewa bagi meraikan Aidiladha 1441H. Ini bermaksud, kesemua barisan rancangan istimewa Aidiladha TV AlHijrah menyelitkan dan memaparkan kesungguhan, ketaatan, kesederhanaan, pengorbanan dan kesyukuran hamba yang menagih kasih sayang dan keberkatan Ilahi dalam perjalanan menjadi Khalifah terbaik di muka bumi Allah.” jelas Namanzee.
“TV AlHijrah juga turut bekerjasama dengan Kementerian Media Arab Saudi. Menerusi kerjasama ini, pihak kementerian telah bersetuju untuk berkongsi maklumat terkini perjalanan ibadah haji yang hanya dihadkan kepada 10,000 jemaah sahaja. Selain itu, mereka turut berkongsi langkah-langkah keselamatan yang akan diambil dalam memastikan semua jemaah selamat dan bebas COVID-19.”
“Informasi ini akan dikongsi menerusi siaran Berita AlHijrah secara langsung setiap hari pada jam 8 malam dan juga melalui portal berita alhijrahnews.com.”
“Kami menaruh harapan agar penonton semua terus bersama TV AlHijrah Aidiladha ini bagi menyaksikan pilihan rancangan-rancangan yang kami sajikan. Moga semua beroleh manfaat dan redha Ilahi.” ujar Namanzee.
TV AlHijrah akan menghidangkan sembilan rancangan istimewa buat semua. Rancangan-rancangan itu adalah Siaran Langsung Pertukaran Kain Kiswah, Kapsul Tabung Abah, Bual Bicara Baitullah Rindu Yang Tertangguh, Dokumentari Mencari Mabrur, Tabung Abah, Filem Tiada Tajuk, Filem Lima Penjuru Masjid, Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha dan E-Kaunter Netizen: Syamsul Debat Aidiladha.
Jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah untuk menikmati siaran rancangan-rancangan istimewa lain seperti rancangan MY #QuranTime, Berita AlHijrah. Nasa’i Jiwa, Bazaar, Jom!, Kapsul Tarikh Al-Islam, Assalamualaikum dan banyak lagi.
SINOPSIS RANCANGAN-RANCANGAN AIDILADHA TV ALHIJRAH
1) SIARAN LANGSUNG PERTUKARAN KAIN KISWAH
30 Julai 2020- 10 pagi
Ramai yang pernah melihat kain kiswah namun tidak ramai yang tahu perincian kain penutup Kaabah ini serta bagaimana proses pertukaran kain kelambu Kaabah ini berlangsung saban tahun pada hari Arafah. Mahu berkongsi ilmu, TV AlHijrah membawa penonton untuk sama-sama menyaksikan proses pertukaran kain kiswah Kaabah ini secara langsung. Turut diselitkan sepanjang siaran langsung ini adalah sejarah pembuatan kain kiswah, kisah pertukaran kain kiswah pada zaman sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehinggalah teknologi yang digunapakai untuk menyiapkannya.
2) BUAL BICARA BAITULLAH RINDU YANG TERTANGGUH
Bermula 27 Julai 2020 – Isnin hingga Khamis- 9 malam
Baitullah Rindu Yang Tertangguh adalah sebuah program bual bicara yang menyajikan kisah perkongsian yang menyentuh hati berdasarkan pengalaman para petugas Tabung Haji, petugas kesihatan, para duyufurrahman dan curahan hati bakal jemaah Haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini. Menerusi 8 episod siaran, para penonton akan bersama Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin selaku hos rancangan dan ditemani panel-panel jemputan seperti Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz, Dr. Luqman Abdullah, Dato’ Daud Che Ngah, Ustaz Fareed Ravi, Dr. Ashraf Suarin dan ramai lagi bagi mengupas tajuk-tajuk istimewa seperti Korban, Mutawif, Jemaah OKU, Wanita, Bakal Jemaah, Cabaran Mengerjakan Haji dan banyak lagi topik menarik lain.
3) DOKUMENTARI MENCARI MABRUR
31 Julai 2020 – 6 petang
Dokumentari Mencari Mabrur adalah sebuah program yang membawa penonton untuk sama-sama merungkai, memahami dan menghayati perjalanan suci para duyufurrahman dalam mencari keampunan teragung dan cinta terindah di Baitullah. Turut dimuatkan di dalam dokumentari ini adalah kisah pensyariatan ibadah haji, rukun haji, tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah serta banyak lagi
informasi-informasi lain yang pastinya mengubat rindu kita semua kepada Baitullah Al-Haram.
4) KAPSUL TABUNG ABAH
26- 30 Julai 2020 – 7.25 malam
Kapsul Tabung Abah adalah kapsul berdurasi 3 minit yang memaparkan kisah pengorbanan seorang ayah dalam memastikan anak kesayangannya mendapat segala yang terbaik di dunia ini. Kapsul ini akan disiarkan setiap hari bermula 26 Julai 2020 yang lalu sehingga 30 Julai 2020 selama lima episod siaran.
5) TELEFILEM TABUNG ABAH
31 Julai 2020 – 7.30 malam
Telefilem Tabung Abah adalah buah tangan kedua selepas drama Bos Mama Kirim Salam terbitan dalaman TV AlHijrah. Telefilem ini menggunakan sepenuhnya tenaga kepakaran kakitangan TV AlHijrah termasuk pengarah, penerbit eksekutif, pelakon, penulis skrip, pengurus produksi dan lain-lain. Tabung Abah mengisahkan kisah kasih sayang dan pengorbanan abah dalam membesarkan anak kesayangannya Hassan. Setelah berpenat lelah mengumpul wang selama 15 tahun bagi menunaikan haji ke Mekah, usaha dan ikhtiar abah diuji Allah. Abah membuat keputusan untuk bekorban wang tabungannya demi menyelamatkan nyawa Hassan. Adakah abah masih berpeluang untuk menjadi tetamu Allah? mampukah Hassan membalas jasa abah? Saksikan kesudahannya dalam telefilem istimewa ini.
6) FILEM TIADA TAJUK
31 Julai 2020 – 9 malam
Filem Tiada Tajuk berkisarkan tentang tiga orang pemuda kampung yang ingin menjadi penyanyi rock dan pop terkenal. Mereka berimpian besar tetapi tidak dihargai di kampung mereka dan dianggap sebagai kutu kampung. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu mereka hadapi demi mencapai impian. Tanpa diduga, satu peluang keemasan namun mereka harus menonjolkan bakat sebagai penyanyi nasyid. Bolehkah mereka berjaya suatu hari nanti?
Pelakon: Hazam, Joey Daud, Along Cham, Achey Bocey, Mawi, Ropie, Kamarul Hj Yusof, Amirah Othman, Johan As’ari.
7) FILEM LIMA PENJURU MASJID
1 Ogos 2020 – 9 malam
Filem Lima Penjuru Masjid berkisar tentang perjalanan hijrah lima pemuda iaitu Bewok, Abian, Lukman, Gani dan Budi yang telah terpaut hati mereka pada masjid. Mereka adalah gambaran tentang manusia yang lalai namun akhirnya menjalani kehidupan yang baik melalui solat lima waktu. Kisah Bewok bermula apabila dia ditangkap kerana percubaan mencuri duit tabung masjid. Namun, nasibnya baik kerana dia tidak diserahkan kepada pihak polis sebaliknya hanya didenda untuk menjadi penjaga masjid selama 40 hari. Budi pula seorang mahasiswa yang sedang dilanda masalah kerana tidak mampu menyelesaikan tunggakan yuran pengajian. Berbeza pula dengan Abian, dia diuji apabila muzik yang diperkenalkan kumpulannya tidak mendapat sambutan peminat. Lukman dan Gani tidak terkecuali diuji. Perniagaan kedai dobinya berhadapan dengan masalah besar yang sukar diselamatkan. Takdir menemukan kelima-lima mereka di Kawasan masjid. Mereka berbicara sambil berkongsi kisah kehidupan masing-masing.
Pelakon: Aditya Surya Pratama, Zikri Daulay, Alfie Alfandy, Faisal Azhar Harahap, Zaky A Riva'i, Ahmad Syarif, M.Taufik Akbar, Arafah Rianti, Syakir Daulay, Rangga Azof Dan Ressa Rere.
8) TELEFILEM BOS MAMA KIRIM SALAM AIDILADHA
2 Ogos 2020 – 9 malam
Baihaqi terpilih untuk mengerjakan Haji. Pelbagai persiapan telah dibuat termasuklah mengikuti kursus haji. Namun konflik timbul apabila Taufik tidak berpuas hati kerana merasakan dia lebih layak menjadi tetamu Allah. Konflik antara Baihaqi dan Taufik berterusan sehinggalah kerajaan Malaysia mengumumkan penangguhan pelaksanaan ibadah haji bagi tahun 1441H. Baihaqi sedih dan kecewa tetapi dia redha dengan aturan Allah. Pada masa yang sama, Puan Kayla pula gigih mempergiatkan bisnes online kerana perniagaannya terjejas akibat Covid-19.
Pelakon: Qazem Nor, Carolina Binur Nina Fazurina dan Zee Khan Hussein.
9) E-KAUNTER NETIZEN: SYAMSUL DEBAT AIDILADHA
31 Julai 2020 & 1 Ogos 2020 – 7.30 malam
Program E-Kaunter Netizen Istimewa AidilAdha adalah sebuah program di mana saudara Syamsul Debat akan menjawab berkenaan apa jua persoalan masyarakat berkaitan isu-isu berkaitan ibadah korban dan sambutan perayaan Aidiladha.
SALAM AIDILADHA & SELAMAT MENONTON
0 Comments