Dalam mengharungi tahun yang mencabar, penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 33 (ABPBH33) telah menjadi penanda aras baharu program anugerah tempatan. ABPBH33 yang telah bersiaran langsung pada hari Jumaat lalu, berjaya meraih 6 juta iaitu 43% syer penonton ketika bersiaran, menandingi pelbagai program lain yang turut ditayangkan pada waktu sama, menurut sumber Nielsen Malaysia. Jumlah tontonan itu turut merekodkan peningkatan sebanyak 200,000 tontonan berbanding ABPBH tahun lalu. ABPBH33 ini turut menggarap beberapa pencapaian lain sepanjang penganjurannya, tahun ini.
Sungguhpun berhadapan dengan kekangan fizikal dan siber kerana penganjurannya ketika musim pandemik COVID-19, ABPBH33 berjaya dianjurkan dengan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan pengawalan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP).
Selain pencapainnya dari segi ratings televisyen, ABPBH33 turut meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia. ABPBH33 telah menjana 700,000 tontonan, iaitu 104,000 lebih tinggi berbanding ABPBH32.
Namun pencapaian yang paling membanggakan adalah jumlah undian Bintang Paling Popular Haqiem Rusly yang berjumlah 22,332,676 undian merupakan jumlah undian tertinggi dalam sejarah Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
Dengan jumlah undian itu, Haqiem Rusly atau nama lengkapnya, Ridzuan Haqiem bin Rusli mengungguli kategori Bintang Paling Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, dan kategori online, Lagu Paling Boom menerusi lagu Lembah Kesepian.
Dengan kemenangan itu, Haqiem menerima hadiah utama kereta Nissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100% dan sifar emisi, berharga RM181,263 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan trofi.
Malam kemuncak ABPBH 33 telah dibawakan oleh penaja utama Xiaomi Malaysia, disiarkan secara langsung di TV3 serta saluran Tonton, YouTube TV3 dan BH termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my, dan buat julung kalinya juga menerusi laman aplikasi TikTok dari Axiata Arena Bukit Jalil.
Malam kemuncak ABPBH 33 yang menobatkan Bintang Paling Popular yang dipilih dalam kalangan calon Top 20 yang memperoleh undian tertinggi turut membabitkan 13 kategori utama serta lima kategori online.
SENARAI PEMENANG ABPBH 33
Kategori Utama
> Bintang Paling Popular: Haqiem Rusly
> Artis Baharu Lelaki Popular: Chubb-E
> Artis Baharu Wanita Popular: Isyariana Che Azmi
> Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: Khai Bahar & Siti Nordiana
> Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia : Haqiem Rusly
> Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia : Wany Hasrita
> Pelakon TV Lelaki Popular: Ben Amir
> Pelakon TV Wanita Popular: Siti Saleha
> Pelakon Filem Lelaki Popular: Zahiril Adzim
> Pelakon Filem Wanita Popular: Mawar Rashid
> Artis Komedi Popular: Sherry Al Hadad
> Artis Versatil Popular: Siti Nordiana
> Pengacara TV Popular: Sherry Al Hadad
> Penyampai Radio Popular: DJ Lin (Suria FM)
> Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Francissca Peter
Kategori Online
> Gandingan Serasi Drama Popular: Kamal Adli & Uqasha Senrose (Setelah Lafaznya Akad)
> Gandingan Serasi Filem Popular: Syafiq Kyle & Mimi Lana (Pusaka)
> Lagu Paling Boom: Lembah Kesepian (Haqiem Rusli)
> Artis Kontroversi Popular: Aiman Tino
> Anugerah Fc #fantastik Popular: Siti Nordiana FC
0 Comments